The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

SFC: Membina Sesuatu Untuk Masa Hadapan

Feb 20, 2021 - FAS

Keunggulan sebuah kelab bola sepak bukan sahaja bergantung kepada barisan pemain dan pihak pengurusannya. Malah sebuah pasukan yang unggul mempunyai banyak faktor yang membuatkan mereka berada di kelasnya yang tersendiri.

Tidak dinafikan, dalam atmosfera bola sepak moden, barisan kejurulatihan yang utuh adalah tulang belakang kepada hala tuju dan kejayaan sesebuah pasukan. Lihat sahaja bagaimana kelab-kelab elit Eropah menghabiskan jutaan ringgit sebagai pelaburan dalam melengkapkan barisan kejurulatihan dan ketua jurulatih (pengurus) mereka.

Perkara yang sama cuba untuk diterapkan di Selangor FC apabila menyediakan barisan kejurulatihan yang utuh sebagai teras utama kelab dalam memacu masa hadapan yang lebih progresif.

Selangor FC telah menjadikan pentas Asia sebagai sasaran realistik untuk kelab ini kembali bersaing. Jesteru, pembangunan kelab ini perlu dilakukan dari peringat akar umbi ke peringkat tertinggi, dengan menyediakan platform pemerkasaan pemain muda sebagai pelan jangkamasa panjang.

Dengan perlantikan Michael Feitchtenbeiner sebagai pengarah teknikal SFC pada musim 2019, watak yang mempunyai kredibiti yang tersendiri di pentas bola sepak Jerman, SFC tidak menoleh ke belakang dengan memperkenalkan DNA bola sepak Selangor.

Identiti bola sepak Selangor ini bakal menjadi panduan untuk semua pasukan bola sepak Selangor dari pasukan belia, Piala Presiden, pasukan ‘feeder” Selangor 2 sehinggalah ke pasukan utama.

Pada November yang lalu, SFC akhirnya mengumumkan ketua jurulatih baharu yang bakal meneruskan idealogi ini dengan memperkenalkan Karsten Neitzel. Beliau yang berpengalaman luas dalam kancah bola sepak Jerman dan pernah menggilap bakat-bakat baru bola sepak di negara tersebut dilihat sebagai watak utama untuk merealisasikan visi dan misi pasukan Selangor.

Baca selanjutnya mengenai Coach Karsten di sini.

Untuk musim debutnya di Liga M, Coach Karsten akan dibantu oleh dua penolong jurulatih tempatan yang berpengalaman,  Adam Abdullah yang telah lulus Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC (PSSI) dan Nazliazmi Mohamad Nasir yang pernah membawa Selangor ke perlawanan akhir Piala FA 2018.
 
Dalam pada itu, jurulatih dari liga Jerman, Carsten Nuelle yang telah menyertai pasukan sejak Januari yang lalu diletakkan sebagai jurulatih penjaga gol kepada tiga penjaga gawang pasukan utama Selangor FC.
 
Gandingan jurulatih kecergasan tempatan, Khairul Anwar Mohd Isa dan seorang lagi warga Jerman, Soren Wrede bakal menggunakan kepakaran mereka untuk memastikan kecergasan semua pemain SFC berada pada tahap terbaik menjelang setiap perlawanan yang bakal dihadapi sepanjang musim ini.
 
Selain barisan jurulatih, pegawai Selangor FC dibarisi oleh Mafizul Rashid (pengurus), Nazzab Hidzan (penolong pengurus), Helber Richard (fisioterapi), Azman Ahmad (kit man), Halimee Yusof & Fadhli Zahari (masseur), Norasrudin Sulaiman (analis), Dr Vijayan Munusamy (doktor pasukan), dan Amirol Azmi (pembantu kecergasan).

Natijahnya, kepakaran tempatan dan luar negara telah diterapkan dalam barisan kejurulatihan SFC untuk memastikan bahawa kelab ini lebih progresif dan mampu mencapai kejayaan pada masa hadapan.

Penyokong Selangor perlu memahami bahawa penstukturan semula SFC ini adalah perkara yang akan memerlukan masa sebelum hasilnya dapat dituai di masa hadapan. Sinergi antara barisan kejurulatihan yang hadir dari pelbagai latar belakang dan kepakaran bakal menjadikan kelab ini di landasan yang tepat untuk kembali beraksi di Asia dengan suntikan DNA bola sepak yang tersendiri.
 
Selangor FC mengucapkan selamat berjaya kepada barisan jurulatih dan pegawai pasukan utama Gergasi Merah bagi mengurus pasukan dan semoga pasukan Red Giants akan mencapai kejayaan untuk musim 2021.

Demi Kebanggaan!